Pengurusan Tingkah Laku Dan Disiplin
|
Antara
hasrat yang sentiasa diinginkan oleh sesebuah negara adalah memastikan kemajuan
dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan. Masyarakat yang mempunyai sahsiah
yang baik adalah salah satu faktor yang penting bagi mencapai hasrat tersebut.
Bagi memupuk sahsiah yang baik perlu diajar dari kanak-kanak lagi. Oleh itu,
semua sekolah telah menerapkan elemen-elemen tingkah laku yang baik dan
berdisiplin tinggi bagi mendidik para pelajar. Kebanyakan pelajar mengatakan
disiplin adalah sesuatu yang membebankan dan menyusahkan pelajar kerana pelajar
perlu mengikut setiap peraturan. Pada hakikatnya, ia bukanlah sesuatu yang
susah untuk dilakukan. Malah akan menjadi kebaikan jika melakukannya.
Abdullah Sani Yahaya, (2005) menjelaskan bahawa:
Disiplin
bukan suatu sekatan, tetapi suatu cara teratur dalam melaksanakan warisan
budaya bangsa yang dapat dilanjutkan dengan pembaikan di
sana sini. Apa yang membimbangkan adalah
pengaruh mendatang yang tidak berjaya ditepis dan dijaringkan oleh generasi
muda, lantaran
mereka terdampar dalam keadaan tidak berilmu dan tidak berwibawa. Gejala
ini memberi kesempatan orang luar menguasai
diri anak warga tempatan. (para. 3)
Pelbagai
definisi tingkah laku yang diberikan oleh tokoh-tokoh terdahulu. Sebagaimana
yang kita tahu tingkah laku boleh diumpamakan sebagai sikap atau perbuatan yang
dilakukan oleh manusia sama ada baik ataupun buruk. Bear, Wolf dan Risley,
(dalam Nurulhuda Ghazali, 2016) menyatakan tingkah laku merupakan apa yang
seseorang cakapkan atau lakukan dan pada keseluruhannya, tingkah laku merujuk
kepada semua tindakan manusia yang boleh diperhatikan, diukur dan dinilai pada
asasnya. Manakala pengurusan tingkah laku pula ditakrifkan oleh Raghbir Kaur,
(dalam Nurulhuda Ghazali, 2016), sebagai satu rancangan dalam modifikasi tingkah
laku bermasalah kepada satu matlamat yang telah ditetapkan menggunakan teknik
yang sesuai.
Bagi
memastikan tingkah laku setiap pelajar pada tahap yang cemerlang dan memuaskan,
pihak sekolah perlu menjalankan pengurusan tingkah laku dengan baik
dan lancar. Tetapi kebanyakkan sekolah tidak berjaya melakukan sedemikian. Hal
ini berkemungkinan kerana pengurusan tingkah laku sekolah tersebut tidak
mengikut konsep yang sebenar. Konsep asas bagi pengurusan tingkah laku adalah
perancangan yang rapi, tentukan individu atau kumpulan yang bermasalah tingkah
laku, teknik intervasi yang berkesan dan penilaian secara objektif (Sharmila
Dharshenee, 2020).
Apabila
konsep pengurusan tingkah laku tidak diikuti dan diamalkan, berkemungkinan akan
ada pelajar yang menjadi yang berlawanan dari apa yang dikehendaki iaitu
mempunyai tingkah laku yang teruk. Mohd Nazar Mohamad (1990), mentakrifkan
tingkah laku bermasalah sebagai tingkah laku yang mengganggu perjalanan
hidupnya. Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada
sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran terutama dalam bilik darjah.
Masalah
tingkah laku bukan sahaja perkara yang besar seperti biadap terhadap guru
tetapi juga perkara-perkara yang kecil. Terdapat jenis-jenis masalah tingkah
laku yang sering berlaku di sekolah. Pertama adalah masalah minor iaitu masalah
yang kecil yang kadang-kadang tidak diketahui pelajar tersebut melakukannya.
Masalah ini tidak perlu diambil tindakan yang serius atau pemulihan kerana ia
boleh diperbaiki dengan menasihati dan mengingati. Sebagai contoh, mengganggu
aktiviti di dalam bilik darjah, tidak mematuhi arahan guru dan tidak mengikut
peraturan. Seterusnya, masalah major iaitu masalah minor yang kerap kali
dilakukan. Walaupun diberi amaran tegas, pelajar ini tidak sesekali menunjukkan
perubahan pada tingkah lakunya. Contohnya, mencabar guru dan menganggu pelajar
lain. Akhir sekali, masalah kronik iaitu masalah serius yang berterusan,
konsisten dan sukar untuk diubah. Contohnya, anti-sosial, mencabar autoriti,
vandalisme dan bergaduh. Pelajar yang melakukan masalah ini perlu diberikan
kaunseling atau teknik modifikasi. Malah intervensi juga perlu dilakukan tetapi
untuk jangka masa yang panjang. Jika masalah ini tidak dibetulkan, pelajar ini
akan mengalami masalah emosi dan sosial yang serius.
Tingkah laku
yang baik akan membuatkan pelajar berdisiplin tinggi. Disiplin merupakan suatu
elemen yang juga perlu ada dalam diri para pelajar. Ia memainkan peranan
penting dalam pembentukan sahsiah pelajar. “Disiplin adalah salah satu komponen
penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat berkenaan tatatertib,
tatsusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Ini sejajar dengan keadaan sistem
pendidikan yang semakin mencabar dalam menghadapi era millenium” (Abdullah Sani
Yahaya, 2005). Apabila pelajar telah dipupuk menjadi seorang yang berdisiplin,
secara tidak langsung akan melahirkan seorang warganegara yang
berdisiplin juga.
Definisi
bagi disiplin yang ditakrifkan dari Kamus Dewan, (2011) “latihan pemikiran dan
kelakuan supaya dapat mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib,
peraturan yang ditetapkan bagi melatih seseorang supaya berkelakuan baik,
kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan dan hukuman atau denda kerana melanggar
peraturan yang ditetapkan.” Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Perlaksanaan Dasar Pelajaran disiplin didefinisikan sebagai kesanggupan
seseorang menghormati dan mematuhi undang-undang, bekerja ataupun membuat
sesuatu dengan cukup tertib, menghormati hak individu lain dan tidak menganggu
kepentingan orang lain. Selain itu, mengamalkan tingkah laku yang baik,
semangat tolong menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi
usaha-usaha yang membina. Akhir sekali, sanggup berkhidmat kepada masyarakat
(James Ang Jit Eng, 2011).
Disiplin
merupakan suatu kompenen yang amat dititikberatkan bagi setiap sekolah sama ada
disiplin pelajar mahupun guru. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2005), “disiplin
adalah teras dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Tahap disiplin yang
tinggi secara tidak langsung meningkatkan prestasi sekolah sama ada dalam
bidang akademik mahupun non-akademik”. Ini menunjukkan bahawa disiplin pelajar
amat penting bagi meningkatkan prestasi sekolah. Sebagai contoh, apabila pelajar
berdisiplin dalam menjalankan latihan bola sepak seperti datang latihan tepat
pada masanya dan tidak mencuri tulang semasa berlatih serta berlatih dengan
bersungguh-sungguh, kumpulan bola sepak tersebut akan dapat menandingi sekolah
lain dalam pertandingan. Secara tidak langsung nama sekolah akan dikenali dan
prestasi sekolah juga meningkat. Sebaliknya jika pelajar sentiasa melakukan
masalah disiplin, ia akan memburukkan nama sekolah.
Bagi
mengelakkan isu masalah disiplin pelajar meningkat, semua pihak perlu bertindak
dalam mengatasinya. Antara pihak yang bertanggungjawab adalah ibu bapa, guru,
guru besar atau pengetua dan kerajaan. (Abdullah Sani Yahaya, 2005).
Tanggungawab ibu bapa adalah memberi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Hal ini kerana ibu bapa merupakan individu yang paling dekat dengan pelajar.
Didikan perlu bermula dari kanak-kanak lagi. Tanggungjawab guru pula adalah
berusaha mewujudkan hubungan yang harmoni bersama pelajar. Guru juga perlu
sentiasa mengawal emosi agar tidak hilang kawalan di hadapan pelajar. Hal ini
kerana jika guru bertindak agresif ia akan menyebabkan pelajar bertindak dengan
cara yang sama. Seterusnya, tanggungjawab guru besar/pengetua adalah pengetua
perlulah sentiasa berusaha mengatasi masalah disiplin pelajar iaitu dengan
bertindak tegas dan menguatkuasakan tindakan disiplin di sekolah.
Walaubagaimanapun pengetua juga perlu memastikan hukuman yang dikenakan adalah
adil dan kena dengan kesalahan yang dilakukan. Akhir sekali adalah pihak
kerajaan yang merupakan pihak yang berkuasa dalam pendidikan. Pihak kerajaan
perlulah sentiasa mengambil tindakan yang bernas bagi memastikan isu masalah
disiplin murid ini diatasi.
Kesimpulannya,
semua pihak bertanggungjawab dan perlu berganding bahu dalam memastikan
pengurusan disiplin dan tingkah laku di sekolah berlaku dengan lancar tanpa
masalah. Pelajar merupakan generasi muda yang akan memajukan negara kita pada
masa hadapan kelak, oleh itu kita perlu memastikan generasi yang terlahir
adalah generasi yang berdisiplin dan bertingkahlaku baik.
Rujukan
Abdullah Sani Yahaya. (2005). Mengurus disiplin
Pelajar. Bentong, Pahang:
PTS Professional
Pub.
Ang. J. J. E. (2011). Pengurusan disiplin murid.
Selangor, MY: PTS Professional.
Nurulhuda Ghazali. (2016). Pengurusan tingkah laku.
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Baru Bangi,
Selangor.
Comments
Post a Comment