Sekolah Dan Persekitaran


Bab 12: Sekolah dan Persekitaran.
Bab ini telah membincangkan mengenai hubungan sekolah dengan masyarakat, guru dan ibu bapa, isu-isu pendidikan semasa serta pendidikan dan globalisasi. Sekolah merupakan pusat penyebaran maklumat dan ilmu pengetahuan. persekitaran dapat dikaitkan dengan suasana atau budaya sekolah dari segi fizikal, sosial, perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
            Hubungan sekolah dengan masyarakat merupakan suatu bentuk jaringan yang kompleks. Interaksi ini berlaku secara tiga dimensi yang melibatkan ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat. Hubungan yang terjalin ini dapat mencapai matlamat atau objektif yang sama. Tambahan pula, perkongsian pintar berkenaan dengan membangunkan sekolah antara dimensi ini merupakan satu gabungan strategic yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat.
            Selain itu, ibu bapa turut berperanan penting dalam kehidupan anak-anak dan pendidikan. Penglibatan mereka merupakan faktor yang paling dominan dalam pembentukan psikologi dan perkembangan sosial kanak-kanak. Ibu bapa sememangnya sangat berpengaruh dalam menentukan tahap pencapaian anak-anak mereka. Oleh itu, penglibatan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sangat digalakkan. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ibu bapa untuk berkongsi pendapat bersama-sama dengan kakitangan sekolah dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian sekolah dan memajukan sekolah.
Selain itu, penggunaan teknologi juga merupakan salah satu persekitaran yang ingin diwujudkan di sekolah. Selaras dengan perkembangan globalisasi, pelbagai cabaran perlu ditempuhi dalam usaha untuk merealisasikan hasrat berkenaan. Sememangnya penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan memberikan kesan positif dari segi kualiti sistem pendidikan negara. Namun begitu, penggunaannya turut mendatangkan kesan negatif khususnya terhadap para pelajar jika tidak dikawal sebaik mungkin akan penggunaannya.
Kesimpulannya, penglibatan masyarakat dan ibu bapa sangat penting dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Hubungan yang terjalin ini sudah pasti dapat mewujudkan pemuafakatan antara pelbagai pihak dalam menjamin kecemerlangan sekolah.

            RUJUKAN
KPS3014: Pengurusan Pembelajaran. (2018). Tajuk 13: Sekolah dan persekitaran. Diperoleh daripada http://pengurusanpembelajaran13a.blogspot.com/2018/11/sekolah-dan-persekitaran.html
Madihah Abdul Rahman. (2018). Bab 13: Sekolah dan persekitaran. Diperoleh daripada http://madihah9717.blogspot.com/2018/12/bab-13-sekolah-dan-persekitaran.html
Razak, A. Z. A. (2006). Ciri iklim sekolah berkesan: Implikasinya terhadap motivasi pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia (Malaysian Journal of Education)31.
Siti Nurhaliza Razlan. (2018). Bab 12: Sekolah dan persekitaran. Diperoleh daripada http://sitinurhalizarazlankps3014.blogspot.com/2018/12/bab-12-sekolah-dan-persekitaran.html

Comments

Popular Posts