Pengurusan Murid Pelbagai Upaya

BAB 11: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA 

Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan suatu langkah yang diambil untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya ini memfokuskan kepada pendidikan khas iaitu pendidikan yang diberikan khas kepada pelajar kurang upaya (OKU). Pelajar Kurang Upaya juga mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sesuai dengan kemampuan mereka. Oleh sebab itu Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran. Pendidikan khas itu sendiri merujuk kepada program yang dibentuk untuk memenuhi keperluan pendidikan murid-murid yang berkeperluan khas. Pendidikan khas juga merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik untuk mengajar murid-murid istimewa kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.

Pengurusan murid pelbagai upaya ini difokuskan kepada pemulihan dan penggayaan. Pemulihan bermaksud perbuatan memulihkan, pengembalian kepada keadaan semula. Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), (Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012). Menurut Yahya Don, (2005), “Program Pemulihan Khas mengutamakan prinsip ‘menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak menjadi kronik dan berterusan sehingga ke tahap 2 persekolahan rendah ataupun peringkat persekolahan menengah rendah” (ms. 118). Proses melaksanakan Program Pemulihan Khas bermula seperti dalam carta aliran berikut.



(Yahya Don, 2005)

Pengayaan pula bermaksud proses di mana aktiviti-aktiviti tambahan yang mempunyai aras kesukaran yang lebih tinggi daripada aras aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dijalankan di dalam bilik darjah. Pengayaan mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Melalui aktiviti ini murid mengembangkan potensi mereka sesuai dengan bakat, minat dan kreativiti. Disamping itu, dapat memupuk sifat ingin tahu, sikap berdikari, kepimpinan serta melibatkan diri dalam membuat sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan dan masyarakat. Antara aktivti bagi pengayaan adalah aktivti pengukuhan yang bertujuan memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid dalam unit pembelajarn. Selain itu, aktiviti pengembangan yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid dalam unit pembelajaran yang sama. Lebih mencabar dan boleh dijalankan oleh murid secara terarah kendiri. Terdapat dua jenis pengayaan iaitu pengayaan secara mendatar dan menegak. Pengayaan mendatar adalah aktiviti pengayaan yang dirancang untuk kumpulan mengikut kebolehan. Manakala, pengayaan secara menegak adalah aktiviti pengayaan yang dirancang untuk kumpulan pelajar yang cerdas sahaja.

Kesimpulannya, pelbagai program dan usaha yang telah dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi memastikan setiap individu pelajar mendapat pendidikan yang sewajarnya, sama ada pelajar biasa atau pelajar kurang upaya. Setiap pelajar telah diberikan pendidikan yang mengikut kemampuan masing-masing dan dibantu bagi memastikan mereka dapat apa yang dipelajari. Oleh itu, pelajar perlu lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agar pada masa hadapan dapat melahirkan insan yang berpengetahuan luas.



Rujukan:

Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Garis panduan             pelaksanaan program pemulihan khas

Yahya, D. (2005). Kepimpinan pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang Darul   Makmur: PTS Professional Pub.

Noorlyda. (2012). Pengayaan. Diakses pada 16 Julai 2020, https://www.slideshare.net

Aiman Ahmad. (2018). Pengurusan murid pelbagai upaya. Diakses pada 16 Julai 2020, http://aimanahmad47.blogspot.com/2018/12/bab-12-pengurusan-murid-pelbagai-  upaya.html

Comments

Popular Posts